1) Adunan Doh lembut yg telah dibekukan (1 ketul)
2) Filet ayam - didadu kecil (2)
3) Kentang - didadu kecil (2 biji)
4) Bawang besar - dicincang kasar (1 biji)
5) Serbuk kari (2 sudu besar)
6) Serbuk cili (1 sudu kecil)
7) Serbuk lada putih (1 sudu kecil)
8) Mentega (1 sudu besar)
9) Rempah allspice (1 sudu kecil)
10) Cuka (1 sudu kecil)
11) Gula (1 sudu kecil)
12) Garam (secukup rasa)
Mula-mula panaskan sedikit minyak untuk menumis.
Tumis bawang putih dan juga bawang besar sehingga layu dan wangi.
Kemudian masukkan ayam. Kacau sehingga ayam bertukar warna.
Kemudian masukkan kentang dan garam. Garam ini bertindak untuk mengeluarkan air daripada ayam dan kentang.
Sebatikan ayam dan kentang bersama garam dan kemudian masukkan serbuk kari, serbuk lada putih, serbuk cili, gula dan serbuk all-spice.
Ratakan ayam bersama bahan-bahan tersebut dan masukkan pula cuka dan sedikit garam mengikut citarasa. Boleh juga ditambahkan daun kari jika suka.
Apabila semua bahan telah dimasukkan dan air ayam telah mula keluar, tutup kuali dan perlahankan api supaya rasa rempah serta bahan-bahan perasa meresap sebati pada ayam.
Apabila ayam telah empuk, buka penutup kuali dan besarkan semula api. Masak lagi sehingga air ayam tersebut kering.
Apabila masak, ketepikan dahulu.
Keluarkan DOH membuat pai yang telah disejukbekukan dan kemudian bahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian yang lebih kecil akan digunakan untuk membuat pastry di bahagian atas. Ketepikan dan simpan semula bahagian tersebut di dalam peti sejuk.
Bahagian yang lebih besar itu pula disapu bersama sedikit tepung dan dibulat leperkan sedikit. Masukkan ke dalam loyang bulat yang akan digunakan untuk membakar pai. Bentukkan doh itu mengikut acuan tersebut.
Tekan dan padatkan doh tersebut disekeliling acuan supaya terbentuk cantik mengikut acuan. Kesatkan tangan dengan sedikit tepung supaya doh tidak melekat pada tangan.
Kaedah ini lebih mudah digunakan memandangkan doh ini lebih lembut dan agar sukar dipegang.
Apabila doh ini telah terbentuk cantik disekeliling acuan, ketepikan... dan keluarkan pula doh untuk pastri di bahagian atas.
Leper membujur doh tersebut sehingga lebarnya menyamai diameter acuan pai tadi.
Kemudian kerat memanjang doh tersebut dengan lebar setiap satunya yang hampir sama.
Seterusnya, masukkan inti ayam ke dalam acuan doh.
Dan kemudian tutupkan dengan pastri yang telah dipotong memanjang tadi berselang seli mengikut kreativiti masing-masing.
Gunakan berus kecil dan kuning telur untuk mengilatkan bahagian atas pastri pai.
Pai ini sedia untuk dibakar. Masukkan ke dalam ketuhar dan laraskan suhunya kepada 230 darjah celcius, dengan kepanasan maksimum menggunakan api bawah dan atas dengan anggaran masa selama 30 ke 35 minit.
Apabila masak, segera keluarkan dari ketuhar. Biarkan pada suhu bilik beberapa ketika sebelum dikeluarkan daripada acuan supaya pai lebih mudah dikelurkan dan tidak pecah terutama apabila hendak dipotong. Selamat mencuba!