26 Aug 2010

Nasi Ambeng

oleh: trymasak | tagged: nasi,ambeng, | komen: 7

Bercerita tentang makanan ruji di Malaysia, pastinya tidak lari dari nasi. Terdapat pelbagai jenis nasi dengan bermacam-macam nama. Pernah dengar tentang nasi ambeng tak? Pernah makan?

Hah bagi yang tak tahu tu, tengok lah video ni. Inilah dia nasi ambeng. Tradisi orang jawa. Selalunya disajikan ketika majlis-majlis keraian mahupun kenduri-kendara.

Nasi ambeng dihidangkan di dalam dulang beralaskan daun pisang bersama beraneka jenis lauk pauk. Antara lauk utama nasi ambeng adalah sambal goreng, serunding, mee goreng, ikan kering, sambal belacan dan ayam dimasak kicap ataupun rendang.

Satu dulang nasi yang penuh dengan lauk pauk? Boleh habis ke makan sorang-sorang ni? Hurmm..untuk pengetahuan anda, nasi ambeng ni tidak dimakan sorang-sorang. Sebaliknya dinikmati bersama empat ke lima orang untuk satu dulang.

Sebelum menjamah hidangan ini, biasanya ia didahului dengan bacaan doa. Nasi ini tidak dihabiskan terus ketika majlis sebaliknya hanya dijamah sedikit. Selebihnya akan dibahagi sama rata untuk dibawa pulang dan dimakan bersama keluarga di rumah. Beg plastik pun akan disediakan sekali bersama-sama nasi ambeng. Ada orang panggil bungkusan tersebut sebagai berkat. Ada juga yang panggil bontrot.

Cara makan nasi ambeng ini memang sedikit berbeza dan janggal bagi yang tidak biasa. Namun bagi orang Jawa ianya adalah adat dan kebiasaan yang dianggap mampu mengeratkan hubungan silaturahim.

Komen  Komen
Tambah Komen  Komen