22 Feb 2011

8 Jenis ubi untuk dikenali

oleh: trymasak | tagged: , | komen: 2

Suka makan ubi? Pokok ubi boleh dimanfaatkan bermula dari pucuk hingga ke akarnya. Buahnya bukan sahaja boleh dimakan, malah daunnya juga boleh dimasak dengan aneka masakan.Cuba resepi ini: Gulai lemak pucuk ubi.

 

Ubi yang popular biasanya ubi kayu, ubi kentang dan ubi keledek. Tetapi sebenarnya terdapat pelbagai jenis ubi lain di Malaysia. Di sini terdapat 8 jenis ubi lain untuk dikenali:

 

1. Ubi Kemili


Pernah makan ubi kemili? Ia juga dikenali sebagai pohon seratus, stemona atau pecah kelambu. Di selatan ia dipanggil ubi jembut kerana saiznya yang kecil sebesar ibu jari berukuran panjang lebih kurang 1 meter. Di bahagian timur ia  lebih popular dengan nama ubi keling. Walau apa juga nama panggilannya, ia tetap ubi yang sama.

Ubi yang berbentuk lonjong dan berwarna putih ini merupakan sejenis herba menjalar yang mempunyai isi ubi yang lembut. Menurut pakar tanaman ubat Prof Hembing Wijayakusuma, ubi jalar memiliki sifat kimia manis, dingin dan astringen. Efek farmakologisnya berkhasiat sebagai tonik, yang boleh hentikan perdarahan.

Ubi kemili ini sedap dimakan walau hanya direbus sahaja kerana rasanya manis tetapi boleh juga dijadikan sebagai bahan utama dalam masakan seperti masak lemak, kari dan lain-lain.

 

2. Ubi badak


Mungkin masyarakat melayu di pantai timur Malaysia lebih mengenali ubi badak kerana ia lebih popular di kawasan pantai timur terutamanya di Kelantan. Tanaman bermusim ini sukar ditemui selain dari negeri Kelantan dan Terengganu. Permintaan untuk ubi badak ini akan meningkat apabila tiba musim tengkujuh iaitu antara November hingga Disember kerana waktu tersebut adalah waktu matang untuk ubi jenis ini.

 

Terdapat dua jenis ubi badak iaitu ubi badak putih dan ubi badak ungu. Biasanya ia direbus dan dimakan begitu sahaja kerana isinya agak manis. Namun, ia boleh juga dibuat kerepek, pengat dan beberapa jenis kuih tradisional lain seperti kuih koleh ubi badak.

 

Biasanya berat ubi badak adalah sekitar 10 hingga 15 kilogram sebiji. Ubi badak terbesar pernah dijumpai di Terengganu pada tahun 2010 iaitu seberat 50 kilogram dengan lebar sehingga 60 sentimeter.

 

3. Ubi Sarek




Ubi sarek adalah tumbuhan liar yang juga disebut ubi kekek, whitespot giant arum, elephant's foot dan pongapong. Di selatan ubi sarek dipanggil ubi ular kerana batangnya berwarna hijau dengan tompok-tompok putih seakan kulit ular. Ubi sarek merupakan sejenis tumbuhan yang berbatang lembut seperti batang keladi, daunnya pula berbentuk jejari. Ubinya besar bertekstur seperti isi keladi tetapi bunganya berbau busuk.

 

Ubi sarek hidup secara liar di Malaysia dan jarang dimakan kerana mengandungi kandungan kalsium oksalat dan rasanya gatal. Namun, rasa gatalnya dapat disingkirkan dengan cara merendam ubi yang telah direbus ke dalam air mengalir sebelum ditumbuk dan dimasak sekali lagi untuk dimakan. Di kelantan ubi ini selalunya dijadikan campuran untuk bubur asyura selain dijadikan pengat dan direbus untuk dimakan. Ubi sarek ini juga menarik untuk dijadikan hiasan kerana bentuk daunnya yang unik dan bunganya yang luar biasa.

 

4. Ubi itik



Ubi itik hanya dijumpai di Kelantan dan boleh dikategorikan sebagai ubi bermusim. Ubi yang mempunyai pelbagai bentuk dan tidak sama setiap satunya bersaiz sederhana besar  antara 3cm hingga 10cm. Ia mempunyai rasa manis dan sesuai direbus atau dibuat pengat.

 

Pokok ubi itik yang mempunyai daun berbentuk seakan daun sirih ini adalah pokok jenis menjalar. Kandungan kimia pada ubi jalar adalah protein, lemak, karbohidrat, kalori, serat, abu, kalsium, fosfor, zat besi, karoten, vitamin B1, B2, C, dan asam nikotinat.

 

5. Ubi pujut



Ubi pujut adalah panggilan di kalangan masyarakat utara Semenanjung iaitu Kedah. Pokok tumbuh liar ini adalah sejenis tumbuhan bermusim yang boleh tumbuh apabila tiba kitaran hidupnya dan akan mati setelah sampai tempoh, biasanya setelah berisi. Walaupun tumbuh secara liar, ubi ini boleh dimakan dan rasanya memang sedap.

 

6. Ubi Gadung



Ubi gadung adalah tumbuhan beracun dan satu-satunya tumbuhan liar yang boleh hidup dalam apa jua keadaan cuaca. Ia adalah tumbuhan yang sukar mati dan boleh hidup lama yang dikategorikan sebagai tumbuhan liar yang hidup menjalar dan memanjat, serta boleh memanjang hingga 20 meter dengan batangnya yang berduri. Menurut penyelidikan, pokok ini berasal dari India Barat tetapi telah tersebar luas ke Asia Tenggara yang hidup liar di hutan sekunder, belukar dan biasanya juga ditanam di taman.

 

Pokok ubi ini boleh dibezakan dengan ubi yang lain melalui bentuk daunnya. Ubi beracun ini mempunyai daun berbentuk hampir tiga segi yang tidak bercantum antara satu sama lain. Bunganya amat jarang ditemui tetapi jika ada, ia akan tumbuh di bawah daun dengan warna kekuningan dan berbau wangi.

 

Isi atau ubi tumbuhan ini membesar di dalam tanah seperti ubi kayu dan keledek. Di dalam satu liang, terdapat beberapa biji ubi dan bentuknya agak bulat serta berkulit keras nipis. Kulitnya berwarna coklat kekuningan dan isinya pula kuning keputihan. Namun begitu, apabila ubinya terlalu tua dan kulitnya telah bertukar warna menjadi kehijauan, ia mengandungi kuantiti racun yang tinggi.

 

Kesemua bahagian tumbuhan ini beracun terutama ubinya. Ubi ini kaya dengan kanji yang mengandungi alkaloid dioscorin beracun dan ia hampir sama dengan alkaloid dioscoricin. Namun begitu, bagi mengelakkan ubi ini daripada beracun, ia perlu dimasak selepas dibuang alkaloid dengan merendam ubi gadung ini selama 3-4 hari.

 

7. Ubi torak


Secara saintifik ia disebut Dioscorea esculenta. Walaupun ia kelihatan seperti ubi kayu tetapi sebenarnya saiznya lebih kecil dan rasanya juga berbeza. Pokok ubi torak adalah jenis memanjat.

 

8. Ubi larut




Ubi larut atau nama botaninya stachyphyniu griffithii kelihatan seperti lengkuas atau halia. Bagaimana rasanya? Rasanya tidaklah seperti halia dan lengkuas atau pedas seperti yang disangkakan. Rasanya seperti ubi, manis dan agak berserat. Rizom pokok ini boleh dikisar dan airnya diminum untuk membantu menyejukkan badan. Ubi ini sesuai dimakan dengan cara merebusnya sahaja kerana rasanya agak manis.


Kredit Gambar:

http://bp0.blogger.com/_WaYb_k_cHus/SIciTEiXhYI/AAAAAAAAASk/7e_ICIeXDQI/s1600-h/ubi+keling.jpg

http://1.bp.blogspot.com/_4bTT3RdiJ8M/TRNXdBEf4dI/AAAAAAAAD_I/_lCOpyL8paw/s1600/ubi%2Bbadak.jpg

http://2.bp.blogspot.com/_8lu3Ahdheps/TBYVSN51hpI/AAAAAAAAAPM/JtaWizCBPgw/s1600/ubi+sarek.jpg

http://4.bp.blogspot.com/_8lu3Ahdheps/TBYVQV8Cg_I/AAAAAAAAAPE/aWeZ-hD81Cw/s1600/ubi+itik.jpg

http://2.bp.blogspot.com/_8lu3Ahdheps/TBYVOWfUULI/AAAAAAAAAO8/Z-ltVyieoP4/s1600/ubi+badak.jpg

http://4.bp.blogspot.com/_T0TDwbSHL9g/S3VFcXEHcEI/AAAAAAAAAao/XP0uYldTlfw/s1600-h/ubi+larut.jpg

http://3.bp.blogspot.com/_oB4PeOaAf_E/TQAQtJ_sqQI/AAAAAAAAIFU/P5dZ_iGXBbY/s1600/101129221136.jpg

http://2.bp.blogspot.com/_T0TDwbSHL9g/SyTI0-yMLpI/AAAAAAAAAMQ/qUhNkktz3ko/s1600-h/IMAG0043.JPG

http://2.bp.blogspot.com/_T0TDwbSHL9g/SyTLG4Q8dcI/AAAAAAAAAMY/KLXH4aw4AH4/s1600-h/IMAG0034.JPG

http://farm4.static.flickr.com/3052/2414058089_d2c630e8bb_z.jpg

 

Komen  Komen
Tambah Komen  Komen