11 Nov 2011

10 makanan popular Negeri Johor

oleh: trymasak | tagged: , | komen: 2

Pernah ke Negeri Johor yang terletak di Selatan Semenanjung Malaysia? Negeri ketiga terbesar di Semenanjung yang berjiran dengan Singapura ini hanya dipisahkan dengan Selat Tebrau dan dihubungkan melalui Tambak Johor bagi memudahkan perjalanan yang merentasi lautan itu. Walaubagaimanapun, tahu tak sebenarnya masakan dan hidangan di Johor kebanyakkannya dipengaruhi dari Arab dan kepulauan-kepulauan Melayu?. Berikut dinyatakan beberapa jenis makanan tradisi yang popular di Negeri Johor:

1. Laksa Johor

 

Laksa Johor sering disebut-sebut sebagai makanan tradisi sekaligus menjadi makanan identiti bagi Negeri  Johor. Kuahnya pekat berasaskan isi ikan yang dimasak bersama rempah ratus, santan, kerisik dan lain-lain. Ia berbeza dengan laksa Penang kerana dihidang bersama spaghetti, campuran taugeh mentah, bawang mentah, hirisan bunga kantan mentah, daun kesum, daun selasih, timun, lobak masin dan sambal belacan yang menjadikan laksa Johor suatu hidangan yang rumit untuk disediakan. Cuba ini: Laksa Johor NSM, Laksa Johor FIM, Laksa Johor Alif

2. Mee bandung

 

Mee bandung juga merupakan makanan yang mencerminkan identiti Johor. Ia amat terkenal di daerah Muar. Jangan tersalah sangka, perkataan bandung buka bererti ia berasal dari Indonesia tetapi bandung itu membawa maksud aneka bahan yang dicampurkan dari pelbagai rencah. Boleh cuba resepi ini: Mee bandung Johor Nsm, Mee bandung binda Chef Arm


3. Mee rebus

 

Mee rebus juga popular dihidang ketika pelbagai majlis di Johor. Kuah mee rebus Johor dicampur dengan pelbagai ramuan seperti ubi keledek atau kentang, udang, rempah ratus, air rebusan dan lain-lain. Semua ramuan ini dimasak untuk menghasilkan kuah sederhana pekat dan dihidangkan bersama mee, taugeh, telur rebus, daun bawang, bawang goreng, tauhu dan keropok. Jika ingin merasa makanan tradisional Johor yang sihat, apakata cuba resepi ini: Mee rebus Johor Nsm

4. Soto

 

Orang Johor gemar menyediakan soto ketika pelbagai majlis keraian kerana selain sedap ia juga mudah untuk disediakan. Lebih sedap jika dihidang bersama bergedil daging yang dibuat daripada kentang dan daging. Boleh belajar cara membuat pelbagai jenis bergedel di sini: Bergedel, Bergedel daging, Bergedel sayur, Bergedel telur

5. Nasi ambeng

 

Makanan Johor banyak dipengaruhi dengan cara masakan jawa seperti nasi ambeng, lontong dan juga ungkep. Nasi ambeng adalah nasi yang dihidang ketika majlis yasin ataupun tahlil. Keunikan nasi ambeng adalah dari segi cara dihidangkan. Biasanya ia dihidang di dalam talam untuk dimakan bersama empat orang. Nasi ambeng biasanya di hidang bersama mee goreng, ayam ataupun ikan, sambal goreng, serunding kelapa, sayur goreng campur dan juga ikan kering.

6. Botok-botok

 

Botok-botok adalah makanan asli orang Johor. Sejenis makanan yang diperbuat daripada ikan bercampur kelapa, rempah dan pelbagai jenis herba seperti daun kaduk, cekur, daun kesum, selasih, bebuas, limau purut, daun mengkudu dan daun ubi muda yang dikukus di dalam daun pisang. Botok-botok yang telah siap digaul dengan semua ramuan biasanya dikukus selama dua jam atau lebih kerana ia akan menjadi lebih sedap jika dikukus lebih lama.

Cuba ini resepi yang menyihatkan ini: Botok ikan Nsm

7. Kacang pool

 

Kacang Pool boleh dikategorikan sebagai makanan yang agak ringan dan sesuai dimakan pada bila-bila masa. Walaupun begitu, hidangan ini biasanya dimakan pada waktu petang bersama sebiji telur mata lembu dan roti bakar yang dicicah ke dalam kacang pool.

8. Lontong

Lontong juga adalah salah satu makanan tradisional Negeri Johor yang juga popular di Singapura sejak dulu lagi. Malah, ia menjadi hidangan istimewa pada Hari Raya Aidilfitri. Lontong yang dimakan bersama kuah lodeh berwarna kuning keemasan ini berasaskan santan, sayur-sayuran, rempah, bawang, serai dan juga udang. Lebih istimewa ia dimakan bersama telur rebus, sambal tumis dan tempe goreng. Boleh mencuba ini:Lontong Johor Alif, Lontong dan nasi himpit Nsm

9. Air katira

 

Air katira sememangnya popular dan tidak asing bagi rakyat Johor yang biasanya dijual ketika bulan ramadhan. Seakan air lai chee kang tetapi tidak sama kerana ia dicampur dengan susu cair dan ais krim soda bersama sedikit pewarna hijau atau pandan. Ia dinamakan air katira kerana diletakkan buah katira di dalamnya bersama pelbagai bahan lain seperti buah kembang semangkuk, hirisan kurma, biji selasih, kismis, kacang, cincau dan badam cincang. 

10. Telur pindang

 

Telur pindang adalah telur yang direbus di dalam air herba selama beberapa hari dengan pelbagai jenis rempah dan daun seperti daun pokok manggis, daun senduduk, daun jambu batu, halia, galanga, kulit kayu manis, bunga lawang, kulit bawang dan serai untuk memberikan rasa dan warna yang unik. Masakan tradisional yang terkenal di Negeri Johor ini boleh bertahan sehingga dua minggu atau lebih yang biasanya disediakan ketika majlis-majlis perkahwinan di Negeri Johor.

Semoga riang ria menikmati hidangan tradisi Negeri Johor!


Rujukan gambar:

http://farm4.static.flickr.com/3093/2697738133_7b2dfff6fb.jpg
http://www.eresepi.com/wp-content/uploads/2011/03/meerebusjohor.jpg
http://www.resepmasakanbunda.com/wp-content/uploads/2011/01/botok-teri.jpg
http://2.bp.blogspot.com/-Zaj2iPB7f08/Tn4Ff3sKR-I/AAAAAAAAA4I/_0qqk7SAYQ0/s640/uiop.jpg
http://1.bp.blogspot.com/_jIrsJPddPuc/TQ8Zi9ByrwI/AAAAAAAAAZM/BiSZYv1Mil4/s1600/01010055_3.jpg
http://3.bp.blogspot.com/-SDxjoukV6Fg/ThrJATcafvI/AAAAAAAACHQ/2t8Lt7_er6E/s1600/mee-bandung-muar-.jpg
http://1.bp.blogspot.com/__xg0RZPGznI/TS_Hkqy17EI/AAAAAAAAAnE/cSXQ61Yu7Uk/s1600/nasi%2Bambeng.jpg
http://2.bp.blogspot.com/-Ig1ndMrhCnw/TbzHrNeTkrI/AAAAAAAAA28/eprsZL47VUg/s1600/kcg_pool_roti_bakar.jpg
http://1.bp.blogspot.com/-eIv1GJnqTNs/TkyfH_xWerI/AAAAAAAAASE/x_D_iDqTKSM/s1600/images+%25281%2529.jpg
http://4.bp.blogspot.com/_MMkkRyG4QrM/SoeZ-lwQokI/AAAAAAAAAIQ/12t9_0G0BH0/s1600-h/2248716874_f464e71967.jpg








Komen  Komen
Tambah Komen  Komen